Friday, 13 October 2017



5. SUARA RAKYAT BOLEH MENJATUHKAN SESEBUAH NEGARA : PEMERHATIAN DI THAILAND.




Situasi politik negara jiran sebelah utara kita patut diambil iktibar. Thailand mengalami krisis politik paling buruk ekoran negara itu tidak lagi mempunyai Perdana Menteri, anggota Kabinet dan Parlimen yang dibubarkan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum pada Februari lalu, tapi pilihan raya itu juga dibatalkan.

Sejak enam bulan lalu, Thailand tidak sepi daripada berita demonstrasi dan perhimpunan rakyat yang menggugat kedudukan kerajaan yang dipilih rakyat.

Keputusan mahkamah Thailand pada 7 Mei lalu pula memburukkan lagi krisis politik di Negara Gajah Putih itu dengan penunjuk perasaan antikerajaan masih melakukan demonstrasi jalanan di Bangkok. Sementara itu penyokong Yingluck Shinawatra (kumpulan Baju Merah) pula berikrar untuk mempertahankan bekas Perdana Menteri itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya pertempuran berdarah.

Akhirnya pada 22 Mei lalu Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan tentera merampas kuasa demi memulihkan kestabilan negara itu.

Dalam sesebuah negara adalah penting kestabilan politik dipertahankan dan dipelihara dengan baik. Dahulu dunia melihat Thailand negara contoh terbaik kerana negaranya aman dan rakyatnya amat menghormati institusi raja.

Tetapi sekarang, nampaknya nasihat dan kata-kata raja mereka pun sudah tidak didengari. Mainan kuasa dan politik semata-mata untuk menyokong pengaruh seorang pemimpin dalam buangan akhirnya mengorbankan kemakmuran dan kesejahteraan negara itu.

Tidak mustahil pergolakan semacam itu pun boleh berlaku di Malaysia. Pencapaian dan kestabilan negara kita juga boleh terjejas jika keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum tidak dijaga. Bibit-bibit itu sudah ada.

Malaysia boleh menjadi seperti Thailand kalau kita membenarkan kekecohan dan kacau-bilau terus berlaku di ibu negara Kuala Lumpur. Lihatlah kesannya kalau kita terus membiarkan perjuangan politik sempit dan kotor pihak tertentu semata-mata ‘gila’ hendak berkuasa di Malaysia.

Dalam konteks ini juga, negara jiran kita Indonesia telah banyak belajar daripada kuasa rakyat. Rakyatnya menyaksikan kerajaan yang dahulu stabil akhirnya tumbang kerana suara rakyat di jalanan membawa kerugian kepada ekonomi negara itu.

Dalam memperkatakan tentang demokrasi sebenar, Thailand sudah jauh tersasar. Kemenangan sesebuah parti politik yang mendapat majoriti kepercayaan rakyat melalui pilihan raya begitu mudah dipertikaikan. Caranya turun demonstrasi di jalanan berhari-hari atau berminggu-minggu sehingga melumpuhkan pentadbiran negara. Penunjuk perasaan tak peduli peraturan dan sistem berkerajaan.

Kumpulan penyokong parti berlawanan akan saling mengadakan demonstrasi membantah pentadbiran kerajaan yang ada. Sejak 2006 hingga kini, banyak demonstrasi yang menggugat kerajaan dan menjejas imej Thailand.

Banyak penganalisis politik antarabangsa berkata, jika selama ini prinsip demokrasi sering disandarkan kepada kekuatan kuasa rakyat tetapi di Thailand telah dibuktikan bahawa kuasa rakyat itu masih boleh dilawan oleh sebuah pertubuhan antikerajaan.

Tindakan kumpulan penunjuk perasaan sudah jauh terpesong daripada kehendak demokrasi. Protes mereka di jalanan secara berterusan terhadap kerajaan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya sudah cukup untuk membuktikan bahawa tindakan mereka tidak berlandaskan konsep demokrasi. Jika ada kesilapan, sepatutnya pemimpin kerajaan harus diberi peluang untuk memperbaikinya.

Jika kerajaan itu masih gagal untuk memperbaikinya, baharulah pilihan raya selanjutnya digunakan sebagai medan untuk menukar kepada sebuah kerajaan baharu yang lebih dipercayai.

Namun, seringkali jalan mudah melalui demonstrasi jalanan menjadi pilihan. Malangnya, jalan yang hampir serupa turut menjadi pilihan parti politik pembangkang di Malaysia bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Syukurlah dengan kecekapan pasukan keselamatan kita, beberapa siri tunjuk perasaan atas kepentingan politik pihak tertentu berjaya dipatahkan. Apa yang berlaku di Thailand patut membuka mata dan fikiran semua pihak di Malaysia akan kesan yang bakal dihadapi oleh kita dari aspek ekonomi, keselamatan dan imej negara di mata dunia.

Maknanya kita perlu menjaga dan menghormati nilai-nilai yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kekalkan hidup hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk. Belajarlah daripada kemelut di Thailand.


No comments:

Post a Comment